Pemaju Tak Baiki Kerosakan Rumah Anda Dengan Baik? Ini Puncanya Dan Solusi.

Kenapa harga rumah naik

1. Saya sering menerima rungutan daripada pembeli-pembeli rumah baru yang pemaju gagal baiki kerosakan rumah mereka sebagaimana yang dikehendaki.

Ada yang mendakwa pemaju macam buat acuh tak acuh dengan aduan kerosakan yang mereka buat, lambat baiki kerosakan yang diadukan, baiki sikit kemudian rosak balik dan banyak lagi lah ketidakpuasan hati yang diluahkan oleh mereka kepada saya.

2. Saya agak hairan juga kenapa boleh jadi begitu. Sebab berdasarkan pengalaman saya setakat ini menguruskan aduan-aduan tuntutan kerosakan rumah client saya yang dalam tempoh liabiliti kecacatan dengan pemaju, bolehlah dikatakan, kesemua pemaju telah membaiki kerosakan yang diadukan dengan baik sekali.

Alhamdulillah semua klien berpuas hati.

3. Dan setakat kes yang saya kendalikan, tiada lagi aduan yang dibuat berakhir dengan tindakan pemfailan tuntutan di Tribunal Pembeli Rumah atau pemfailan tuntutan sivil di mahkamah. Jadi, dapat menjimatkan kos guaman.

Saya optimis, tiada sebab mengapa pemaju sengaja tidak mahu membaiki kerosakan tersebut. Kerana ianya akan memberi kesan terhadap reputasi dan bisnes pemaju itu sendiri.

Melainkan memang anda beli rumah dengan pemaju kaki scammer. Itu memang silap anda lah sebab tak siasat betul-betul latar belakang pemaju sebelum beli rumah yang dibina oleh mereka.

4. Lagipun, segala kos pembaikan telah diambil kira dalam harga rumah yang dijual. Bahkan pemaju sendiri akan memotong wang pertaruhan yang dipegang daripada kontraktor yang dilantik jika terdapat kerosakan yang gagal dibaiki oleh kontraktor tersebut.

Bagi saya, kalau pemaju tak baiki tu, mesti ada sebab-sebab lain yang menjadikannya begitu.

5. Maka, setelah saya selidiki, rupa-rupanya antara sebab kenapa kerosakan tersebut tidak dibaiki oleh pemaju sebenarnya banyak disumbangkan oleh kesilapan pembeli sendiri dalam membuat tuntutan atau aduan kerosakan.

6. Diantara kesilapan yang biasa dilakukan oleh pembeli adalah aduan kerosakan yang dibuat tidak jelas dan mengelirukan serta tidak mengikut prosedur aduan yang sebenar.

7. Saya dapati kebanyakan pembeli hanya menggunakan borang aduan kerosakan yang diberikan oleh pemaju semata-mata untuk mengemukakan aduan kerosakan.

Disebabkan ruangan yang disediakan dalam borang tersebut terhad, jadi kebanyakan pembeli terpaksa menulis setiap aduan kerosakan tersebut secara ringkas dan cincai sahaja.

Ada yang saya dapati tulisan mereka macam cakar ayam sahaja. Dan disebabkan itulah, terdapat kekeliruan kepada kontraktor atau team teknikal pemaju untuk membaiki kerosakan tersebut.

8. Biasalah, team teknikal pemaju juga manusia biasa. Jika urusan mereka dipermudahkan, mereka pun akan rasa bersemangat untuk buat kerja dengan baik.

Tetapi kalau aduan tak jelas atau main cincai sahaja, macam mana mereka nak baiki kerosakan tersebut dengan baik. Mereka mungkin faham lain, sedangkan aduan yang dibuat oleh pembeli adalah sebaliknya.

9. Jadi solusinya, gunakan format aduan kerosakan sendiri. Tak perlu pakai borang aduan yang disediakan oleh pemaju tersebut.

Senaraikan satu persatu kerosakan yang ingin diadukan mengikut setiap bahagian rumah tersebut.

Jangan campur adukkannya sekali.

10. Misalnya, kerosakan di bahagian porch, senaraikan dalam 1 atau 2 muka surat, kemudian disusuli dengan bahagian ruang tamu yang mana setiap kerosakan tersebut disenaraikan dalam 1 atau 2 muka surat yang lain.

Begitulah seterusnya. Lebih baik lagi kalau anda boleh ambil gambar setiap kerosakan yang diadukan tersebut untuk memudahkan rujukan kontraktor atau team teknikal pemaju. Lampirkan setiap gambar tersebut dalam senarai aduan kerosakan yang dibuat.

11. Dan satu lagi, tidak semestinaya anda kena serahkan aduan kerosakan tersebut kepada pemaju pada hari yang sama anda terima kunci / terima serahan milikan kosong rumah tersebut daripada pemaju. Ingat!

Anda ada masa 24 bulan untuk membuat aduan kerosakan kepada pemaju.

Jadi tidak perlu tergesa-gesa. Ambil masa untuk check setiap kerosakan pada rumah tersebut secara terperinci. Bila dah siap barulah anda hantar aduan kerosakan tersebut sekali gus kepada pemaju.

Elakkan daripada anda hantar aduan secara beransur-ansur atau sedikit-sedikit, melainkan kerosakan tersebut berlaku selepas beberapa lama daripada tarikh serahan milikan kosong dibuat.

Ini bertujuan untuk memudahkan team teknikal pemaju untuk melakukan kerja-kerja pembaikan kerosakan pada rumah anda tersebut sekaligus.

12. Satu perkara yang anda perlu faham juga adalah, aduan kerosakan ini perlu dihantar secara bertulis menggunkan surat rasmi (cover letter) nama anda atau peguam anda (jika menggunakan khidmat peguam).

Kalau boleh biarlah bertaip. Dan ianya perlu dihantar secara pos berdaftar atau serahan tangan sahaja kepada pemaju.

Jangan gunakan email atau whatsapp untuk hantar aduan kerosakan kepada pemaju.

Cara tersebut tidak betul mengikut peruntukan yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli dan Akta Pemajuan Perumahan. Jadi jika pemaju tidak baiki kerosakan tersebut, janganlah salahkan mereka sebab anda sendiri pun hantar aduan kerosakan macam tak serius sahaja melalui email atau whatsapp.

13. Dan sekiranya anda tidak yakin macam mana untuk membuat dan menghantar tuntutan kerosakan yang betul terhadap pemaju, anda boleh sahaja dapatkan bantuan atau khidmat daripada pakar seperti peguam hartanah yang berpengalaman dan sebagainya. Insya Allah mereka boleh membantu anda.

Sila LIKE, SHARE dan KOMEN yang murni-murni sahaja. Moga ramai dapat manfaat daripadanya, Insya Allah

Terima kasih

SALKUKHAIR ABD SUKOR

Peguam Hartanah Rakyat

Salkukhairi Abd Sukor

Salkukhairi Abd Sukor

Beliau merupakan Pengerusi Eksekutif GEMPHAR (Gabungan Peguam Hartanah Rakyat). Banyak berkongsi tip-tip dan prosedur jual beli hartanah dari sudut undang-undang.

Tinggalkan pandangan dan kritikan