Mimpi Ngeri Lot Lidi Bahagian 1/5

Abam dalam proses menyiapkan ebook ringkas mengenai Lot Lidi.

Jadi sementara tulisan tak siap lagi, abam pecahkan kepada 5 bahagian bersiri supaya poin-poin penting boleh disampaikan dan diterima secara beransur-ansur.

2. Pada yang masih belum menyertai soal selidik yang abam kongsikan dalam post sebelum ini, sudi-sudikanlah membantu rakan sekerja abam dengan menjadi responden soal selidik beliau di link ini ya.

3. Tulisan ini memang panjang, tapi tak perlu risau sebab abam MUNGKIN akan pertimbangkan untuk buat ringkasan selepas kelima-lima bahagian ini keluar nanti.

Tapi kalau kau malas juga nak baca dan malas nak tunggu ringkasan, kau suruhlah siapa-siapa yang tak malas macam kau untuk lukiskan. Abam banyak kerja lain lagi nak buat daripada nak layan malas kau itu.

4. Jadi untuk Bahagian Pertama ini, abam nak jelaskan dahulu apa yang dimaksudkan dengan “Tanah Pertanian” mengikut undang-undang, khususnya Kanun Tanah Negara.

Bagi hadam betul-betul sebab ini benda basic supaya anda boleh faham kupasan-kupasan selanjutnya nanti.

5. Secara ringkasnya, sesuatu tanah dikira “Tanah Pertanian” apabila tertulis “Pertanian” pada bahagian “Kategori” dalam dokumen hakmilik (selepas ini disebut geran tanah untuk memudahkan pemahaman).

SEKIRANYA pada bahagian “Kategori” tertulis “Tiada”, lihat pula pada bahagian “Bandar/Pekan/Mukim”.

Kalau maklumat pada bahagian ini adalah Mukim (contohnya tertulis Mukim Telang), maka tanah ini juga SECARA UMUMNYA terikat kepada penggunaan “Pertanian”.

Cerita “Kategori Tiada” ini ada perbahasan panjang sebenarnya, tapi bukan di sinilah tempatnya untuk abam kupas.

6. Kenapa kena kupas panjang pasal “Tanah Pertanian”? Sebab masalah lot lidi berlaku apabila “Tanah Pertanian” dipecahkan menjadi plot-plot kecil untuk dijual.

Pecahan Lima Bahagian Tulisan Lot Lidi

7. Abam akan kupas mengenai Mimpi Ngeri Lot Lidi ini dalam 5 bahagian seperti berikut:

(i) Bahagian Pertama, iaitu bahagian yang anda sedang baca sekarang.

Bahagian ini ada intro sikit pasal “Tanah Pertanian” (dah intro pun kan) dan overview keseluruhan untuk kelima-lima bahagian. Bahagian ini juga abam akan guna untuk kredit sumber-sumber tulisan abam ini.

(ii) Bahagian Kedua nanti abam akan kupas tentang risiko dan masalah yang berpotensi dihadapi pembeli lot lidi, khususnya berkaitan isu “nama tak masuk geran”.

Apalah yang masalah sangat kalau nama tak masuk geran ini kan? Tak cukup lagi ke kalau pakai Surat Ikatan Amanah?

(iii) Bahagian Ketiga abam akan kupas tentang peruntukan undang-undang berkait dengan tindakan penguatkuasaan setakat pengetahuan dan pengalaman kerja abam yang tidak seberapa ini.

Teruk sangat ke implikasi undang-undang kalau buat rumah atas lot lidi ini? Berbaloi ke kalau kena denda sebab langgar syarat berbanding harga belian lot lidi yang murah itu? Boleh ke sampai pihak berkuasa datang dan robohkan rumah atas lot lidi ini?

(iv) Bahagian Keempat nanti abam akan kupas tentang masalah yang bakal berbangkit kalau lot lidi ini terlibat dengan pengambilan tanah.

Abam akan share juga pengalaman peribadi abam mengendalikan kes pengambilan tanah yang melibatkan lot lidi yang merugikan kedua-dua pihak, iaitu pembeli dan penjual, serta dalam masa sama menyusahkan pegawai yang menguruskan pengambilan tanah itu sendiri (abam la itu).

(v) Bahagian Kelima nanti pula abam akan ceritakan tentang janji-janji manis penjual lot lidi dan apa respon peribadi abam setakat pengetahuan tak seberapa abam ini. Respon abam itu tak semestinya betul dan tak semestinya anda kena setuju. Terpulang atas pertimbangan masing-masing.

Antara Rujukan Bagi Siri Lot Lidi

8. Selain pengalaman dan pengetahuan abam sendiri yang tak seberapa ini, konten yang abam bakal kongsikan ini adalah diambil daripada konten yang pernah diterbitkan oleh (tetapi tidak terhad setakat) individu berikut:

(i) Puan Norliana Ismail, seorang Pegawai Tadbir & Diplomatik lulusan Undang-undang yang juga merupakan subject matter expert Pentadbiran Tanah di Pulau Pinang.

Puan Norliana ini boleh kupas halus semua 447 seksyen dalam KTN ikut disiplin ilmu undang-undang selain turut mahir dan berpengalaman mengendalikan pengambilan tanah.

(ii) Tuan Mohd Syukri Mohd Mokhtar, juga seorang Pegawai Tadbir & Diplomatik yang sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Pentadbiran Dan Pembangunan Tanah, juga merupakan seorang subject matter expert dalam Pentadbiran Tanah di Pulau Pinang. Khususnya dalam kluster pendaftaran hakmilik tanah.

Kalau ada kes-kes berprofil tinggi melibatkan geran tanah di Pulau Pinang, biasanya beliaulah yang akan dipanggil menjadi saksi di Mahkamah Tinggi.

(iii) Tuan Sakulkhairi Abd Shukor, Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam).

(iv) Tuan Mohd Faiz Alias, jurukur berlesen di Jurukur Mahabob & Co. Sdn Bhd.

Picture of Illias Masri

Illias Masri

Tinggalkan pandangan dan kritikan