Kesan Beli Rumah Yang Telah Siap Dibina Daripada Pemaju

Jika anda beli rumah baru yang telah siap dibina oleh pemaju dan CCC pun telah dikeluarkan, maka jual beli tersebut tidak lagi akan terikat dengan peruntukan-peruntukan jual beli di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966

Ertinya apa? Ertinya :

1. Perjanjian jual beli yang digunapakai bukan lagi menggunakan Jadual G atau H tetapi perjanjian jual beli rumah sub sale.

2. Terma-terma jual beli tertakluk kepada persetujuan bersama antara pemaju dan pembeli. Tiada lagi standard clauses yang perlu diikut.

3. Penjualan rumah atas dasar ” as is where is basis” (keadaan semasa rumah tersebut)

4. Tiada tempoh liabiliti kecacatan diberikan kepada pembeli.

5. Tiada lagi isu kelewatan serahan milikan kosong yang membolehkan pembeli tuntut ganti rugi kelewatan terhadap pemaju.

6. Tempoh penyempurnaan urusan jual beli sama seperti jual beli rumah sub sale (3+1).

7. Pembayaran harga jual beli tidak lagi mengikut progres. Bayaran harga jual beli dibuat secara lump sum terus kepada pemaju.

8. Pembeli tidak berhak memfailkan tuntutan terhadap pemaju di Tribunal Pembeli Rumah.

9. Tiada lagi pembayaran baki 5% terakhir dibuat kepada peguam sebagai stakeholder. Sebaliknya semua bayaran dibayar terus kepada pemaju.

10. Faedah lewat bayar tidak lagi mengikut progress tetapi sebaliknya mengikut harga jual beli keseluruhan rumah tersebut.

11. Pembeli boleh terus mendiami rumah tersebut sebaik sahaja terima milikan kosong.

12. Kebiasaannya harga jual beli rumah yang telah siap dibina agak sedikit tinggi berbanding rumah yang dalam pembinaan.

13. Rumah akan tertakluk kepada valuation jika pembeli ingin membuat pembiayaan dengan bank.

Jadi, fahamilah hak anda sebagai pembeli sebelum membuat keputusan membeli rumah yang telah siap dibina daripada pemaju.

Salkukhairi Abd Sukor

Salkukhairi Abd Sukor

Beliau merupakan Pengerusi Eksekutif GEMPHAR (Gabungan Peguam Hartanah Rakyat). Banyak berkongsi tip-tip dan prosedur jual beli hartanah dari sudut undang-undang.

Tinggalkan pandangan dan kritikan