Kebocoran Antara Tingkat. – Apa Tanggungjawab Pemilik Dan Pihak Pengurusan?

Situasi:

Sulaiman tinggal di sebuah apartment tidak jauh dari Kuala Lumpur bersama kedua-dua orang tuanya. Sulaiman bekerja sebagai seorang ‘technician’ bagi sebuah syarikat yang menjual penapis air. Apartment yang mempunyai 3 bilik tidur dan 2 bilik air tersebut merupakan tempat Sulaiman membesar bersama 3 orang lagi adik-beradik yang lain. Apartment yang diberi nama Apartment Gajah Mada tersebut terdiri daripada 4 blok di mana setiap blok mempunyai 4 tingkat. Keluarga Sulaiman tinggal di tingkat 2, blok B.

Pada suatu hari, ketika ingin mengambil wuduk pada waktu Subuh, Sulaiman perasan bahawa terdapat banyak air menitik daripada siling bilik air luar rumah beliau. Dari sehari ke sehari, titisan air dari siling bilik air tersebut semakin bertambah dan berbau.

Disebabkan keadaan bilik air tersebut semakin teruk, Sulaiman membuat keputusan untuk bertanyakan hal itu kepada pemilik rumah di tingkat 3, iaitu Pakcik Jalil. Sulaiman kenal benar dengan keluarga Pakcik Jalil, lebih-lebih lagi anak sulung beliau iaitu Baharuddin. Teringat Sulaiman ketika menewaskan Baharuddin di pusingan akhir dalam Kejuaraan Beyblade anjuran pihak pengurusan Apartment Gajah Mada 10 tahun lepas. Hampir 2 minggu Baharuddin tidak bercakap dengan Sulaiman selepas kekalahan memalukan tersebut. Baharuddin sekarang bekerja sebagai seorang ‘Promoter’ di sebuah hypermarket di Johor Bahru.

Sulaiman menziarahi rumah Pakcik Jalil selepas pulang dari kerja. Pakcik Jalil sekarang tinggal di rumah tersebut sebatang kara selepas kematian isterinya pada 3 tahun yang lepas dan hanya bergantung kepada duit pencennya sebagai seorang bekas tentera. Sulaiman memaklumkan kepada Pakcik Jalil bahawa mungkin ada kebocoran di bilik air rumah beliau sehingga mengakibatkan air tersebut menitik ke rumah Sulaiman yang berada di tingkat bawah.

Apabila diperiksa, memang benar bahawa terdapat kebocoran di bilik air milik Pakcik Jalil dan keadaan bilik air tersebut memang sangat teruk dan baunya yang meloyakan. Pakcik Jalil memberitahu Sulaiman sudah 2 minggu tandas di bilik air tersebut rosak namun beliau tiada wang cukup untuk membaiki tandas tersebut dalam masa terdekat dan meminta sedikit masa dari Sulaiman untuk menyelesaikan isu tersebut.Sulaiman bersetuju untuk memberikan tempoh 3 hari kepada Pakcik Jalil bagi memperbaiki kerosakan di bilik air beliau.

Namun, selepas seminggu berlalu, masih tiada sebarang tindakan diambil oleh Pakcik Jalil dan keadaan bilik air di rumah Sulaiman semakin hari semakin teruk dan sudah tidak boleh digunakan lagi. Sulaiman tidak pasti apa yang perlu beliau lakukan bagi menangani masalah tersebut.

APA SULAIMAN BOLEH LAKUKAN?

Tindakan pertama yang Sulaiman perlu lakukan adalah memberikan notis kepada pihak pengurusan di Apartment Gajah Mada selaras dengan Peraturan 56 Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015.

SELEPAS BERI NOTIS, APA SEPATUTNYA TINDAKAN YANG PERLU DIAMBIL OLEH PIHAK PENGURUSAN APARTMENT GAJAH MADA?

Setelah menerima notis seperti di Peraturan 56 tersebut, pihak Perbadanan Pengurusan Apartment Gajah Mada haruslah menjalankan pemeriksaan dalam masa tujuh (7) hari ke atas unit milik Pakcik Jalil bagi menentukan punca kebocoran antara tingkat itu dan pihak yang bertanggungjawab untuk membaiki kecacatan yang menyebabkan kebocoran itu. Perkara ini telah dinyatakan di Peraturan 57 Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015.

Kemudian, berdasarkan Peraturan 59, dalam masa lima (5) hari dari tarikh pemeriksaan, pihak pengurusan Apartment Gajah Mada haruslah mengeluarkan satu perakuan pemeriksaan dalam Borang 28 untuk menyatakan sebab kebocoran antara tingkat dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kecacatan yang menyebabkan kebocoran tersebut.

Selepas pemeriksaan dibuat di unit milik Pakcik Jalil, pihak pengurusan Apartment Gajah Mada yang dipengerusikan oleh Encik Shah telah pun mengeluarkan Borang 28 kepada Pakcik Jalil dan meminta beliau untuk memperbaiki kerosakan di bilik air beliau yang menjadi punca kebocoran antara tingkat ke rumah Sulaiman di tingkat bawah.

Borang 28 tersebut sudah diserahkan hampir 2 minggu kepada Pakcik Jalil namun Pakcik Jalil masih tidak memperbaiki kerosakan di bilik air rumah beliau dan telah menyatakan kepada Sulaiman bahawa beliau memang tiada duit untuk membaiki bilik airnya.

APA TINDAKAN SETERUSNYA YANG BOLEH DIAMBIL OLEH SULAIMAN?

Dalam situasi ini, Sulaiman boleh meminta pihak pengurusan untuk masuk ke unit milik Pakcik Jalil dan membaiki kerosakan di bilik air tersebut.

KENAPA PIHAK PENGURUSAN PULA YANG PERLU BAIKI SEDANGKAN KEROSAKAN BERLAKU DI UNIT PEMILIK DAN BUKAN HARTA BERSAMA?

Tanggungjawab untuk membaiki kerosakan di unit milik Pakcik Jalil jatuh kepada pihak pengurusan Gajah Mada berdasarkan peraturan 61 Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015 seperti berikut:

“Kebocoran antara tingkat disebabkan oleh atau dikenalpasti berpunca daripada suatu petak:-

(1) Jika kebocoran antara tingkat disebabkan oleh atau dikenal pasti berpunca daripada suatu petak atau mana-mana bahagian daripadanya, pembeli, pemunya petak atau pemilik petak itu, tanpa prejudis kepada haknya untuk mendapatkan indemniti dari mana-mana pihak lain, hendaklah mengambil semua langkah perlu untuk membaiki kebocoran antara tingkat itu dalam masa tujuh hari dari penerimaan Borang 28.

(2) Sekiranya langkah-langkah yang dinyatakan dalam subperaturan 61(1) tidak dilaksanakan, mana-mana pemaju, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan atau perbadanan pengurusan subsidiari atau ejen pengurusan yang dilantik oleh Pesuruhjaya di bawah subseksyen 86(1) atau 91(3) Akta, mengikut mana-mana yang berkenaan dengan, hendaklah secepat yang dapat dilaksanakan mengambil semua langkah perlu untuk membaiki kebocoran antara tingkat itu dan hendaklah mengenakan caj dan mendapatkan semua kos dan perbelanjaan dari pihak yang bertanggungjawab untuk membaiki kebocoran itu.”

Selepas dimaklumkan sedemikian oleh Sulaiman, maka pihak pengurusan Apartment Gajah Mada pun dengan segera melakukan kerja-kerja pembaikian di unit milik Pakcik Jalil di mana kos pembaikian sebanyak RM 800 tersebut ditanggung oleh pihak pengurusan terlebih dahulu. RM 800 tersebut telah dibayar semula oleh Baharuddin kepada pihak pengurusan Apartment Gajah Mada 2 minggu selepas itu setelah dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh Sulaiman.

Baharuddin memohon maaf bagi pihak ayahnya atas kejadian yang berlaku dan turut berterima kasih kepada pihak pengurusan Apartment Gajah Mada atas tindakan segera mereka bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Encik Shah membalas bahawa sudah menjadi tanggungjawab mereka sebagai pihak pengurusan di Apartment Gajah Mada. Apatah lagi Sulaiman dan Pakcik Jalil pula tidak pernah culas dalam menjelaskan yuran penyelenggaraan dan sinking fund setiap bulan yang menjadi sumber pendapatan pihak pengurusan untuk menjalankan kerja-kerja mereka.

*Watak di atas hanyalah rekaan semata mata tanpa merujuk kepada mana mana individu.

**Penulisan di atas ini hanyalah perkongsian secara ringkas semata-mata untuk pemahaman masyarakat awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *