Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru sahaja mengumumkan Pelan Jana Semula Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Pelan ini adalah sebahagian daripada pelan pemulihan ekonomi pasca penularan COVID-19.
Tiga teras utama dalam PENJANA ini iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan meransang ekonomi.
Pelbagai bantuan dan insentif diberikan kepada individu, pemilik bisnes, dan industri yang terjejas akibat kemerosotan ekonomi. Bagi sektor hartanah, kerajaan telah mengumumkan insentif berikut;
▸ Kempen Pemilikan Rumah (HOC) akan diperkenalkan semula:
Pengecualian duti setem akan diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman yang bernilai melebihi RM300,000 hingga RM2.5 juta.
Pengecualian duti setem ini adalah terhad kepada RM1 juta pertama nilai rumah kediaman tersebut.
Pengecualian ini akan berkuatkuasa mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021 tertakluk kepada syarat pemberian diskaun sekurang-kurangnya 10% oleh pihak pemaju
▸ Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) diberikan kepada individu warganegara Malaysia ke atas pelupusan rumah kediaman yang dibuat mulai 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021.
Pengecualian ini dihadkan bagi pelupusan tiga (3) unit rumah kediaman sahaja
▸ Selain itu, had pembiayaan bagi pinjaman untuk pembelian rumah yang ketiga dan seterusnya bernilai RM600,000 ke atas, tidak lagi tertakluk kepada 70% daripada nilai rumah, semasa tempoh Program HOC, tertakluk kepada pengurusan risiko dalaman institusi kewangan.
——————————

Pengenalan semula HOC memberikan insentif pengecualian duti setem untuk pembelian rumah kediaman daripada pemaju yang terlibat. HOC telah dilaksanakan sebelum ini bagi membantu pemaju menghabiskan stok rumah mereka yang tidak habis terjual.
Sebelum HOC dilaksanakan, banyak pemaju sudah sedia memberi diskaun. Ada yang memberikan lebih daripada 10% dan percuma kos guaman. Pembeli hanya perlu membayar sedikit wang pendahuluan dan bayar duti setem untuk dokumen perjanjian pinjaman dan juga dokumen pindahan milik, MOT (Memorandum Of Transfer).
Dengan HOC, pembeli akan untung daripada pengecualian duti setem. Melainkan pemaju menambahkan lagi diskaun lebih dari 10% atau menurunkan harga jualan rumah mereka.
Melalui insentif PENJANA ini, pembeli rumah ke-3 dan seterusnya boleh mendapatkan pinjaman melebihi 70% daripada bank untuk pembelian rumah daripada pemaju yang bernilai lebih RM600,000 sepanjang kempen HOC. Namun ini adalah tertakluk kepada kelayakan dan penilaian bank.
Insentif seterusnya adalah pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) atau dalam bahasa inggerisnya “Real Property Gain Tax” (RPGT). Cukai ini dikenakan atas keuntungan penjualan hartanah. Kadar semasa untuk cukai ini adalah seperti berikut.
Tahun pertama: 30%
Tahun kedua: 30%
Tahun ketiga: 30%
Tahun keempat: 20%
Tahun kelima: 15%
Tahun seterusnya: 5%
Selain daripada menjadi sumber pendapatan negara, cukai ini diperkenalkan bagi mengawal selia spekulasi dalam pasaran. Justeru menstabilkan pergerakan harga rumah.
Sebelum ini, pengecualian CKHT hanya diberikan untuk seunit rumah, sekali seumur hidup. Apabila cukai ini diberi pengecualian sehingga 3 unit rumah, saya menjangka akan lebih banyak rumah akan memasuki pasaran sekunder (subsale) disebabkan peluang mendapatkan lebih keuntungan.
Dalam masa yang sama, mereka yang diberhentikan kerja dan peniaga yang mengalami kerugian juga akan menjual rumah mereka. Ini akan menambahkan lagi penawaran dalam pasaran sekunder.
Bila penawaran melebihi permintaan, harga berpotensi tinggi untuk turun. Tambahan lagi, pasaran premier juga akan bersaing dengan pasaran sekunder untuk mendapatkan pembeli.
Kesimpulannya, insentif PENJANA bakal merancakkan lagi pasaran hartanah dari segi jumlah transaksi. Dan menurut pandangan saya, harga rumah akan menurun di sesetengah kawasan dan pada segmen harga tertentu.
Pandangan anda pula bagaimana?
——————————
Rujukan:
▸https://www.edgeprop.my/content/1677594/developers-continue-push-hoc-extension