Bagaimana perasaan anda apabila anda telah buat bayaran booking dengan pemaju atau penjual untuk beli sesuatu hartanah, tetapi apabila urusan tersebut tidak dapat diteruskan sama ada disebabkan oleh pihak anda atau sebaliknya, tiba tiba anda tak dapat balik bayaran booking tersebut.
Mesti anda akan marah bukan?
Jika sedikit mungkin tiada masalah, tetapi ini dah main ribu ringgit.
Dan kebanyakan kes yang dirujuk kepada saya, menunjukkan hampir 90% pembeli tidak akan dapat balik bayaran booking yang telah dibuat.
Kenapa itu berlaku dan bagaimanakah untuk mengelakkan ianya terjadi kepada anda? Jom ikuti tips saya di bawah ini sebagai panduan.
1. Pastikan anda telah semak kelayakan pinjaman perumahan anda dengan bank atau LPPSA terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa bayaran booking / deposit kepada penjual.
Jangan terus buat keputusan untuk beli sehinggalah anda tahu yang loan anda tiada masalah. Bila loan anda telah lulus barulah buat bayaran booking / deposit kepada penjual.
Jika tidak, bayaran booking anda mungkin lesap jika sekiranya loan anda tidak lulus.
2. Jangan buat apa-apa bayaran booking atau deposit sebelum anda tandatangan perjanjian jual beli dengan penjual.
3. Pastikan hartanah yang anda beli bebas daripada sebarang halangan (free from all encumbrance) misalnya, bebas daripada sebarang kaveat, tiada sebarang sekatan kepentingan dan lain-lain.
Jangan buat bayaran kepada penjual jika hartanah tersebut tidak bebas daripada halangan. Nak tahu hartanah anda bebas daripada sebarang halangan atau tak, sila buat carian di pejabat tanah.
4. Jangan buat apa-apa bayaran sehingga anda telah pasti yang hartanah tersebut mempunyai geran individu yang berasingan atau mempunyai dokumentasi yang lengkap untuk mengesahkan ianya milik penjual.
5. Segala bayaran deposit atau booking hendaklah dibuat melalui peguam yang anda lantik sendiri. Jadi, sila lantik peguam anda terlebih dahulu. Dan sila ikuti nasihat peguam anda.
6. Segala bayaran elok dibuat melalui bank draf. Elakkan membuat bayaran secara tunai atau transfer di mesin ATM atau online.
Jika hendak buat bayaran secara transfer, pastikan buat di kaunter. Ini kerana bayaran secara bank draf atau transfer di kaunter akan mempunyai rekod yang lebih jelas.
7. Pastikan anda telah lihat secara fizikal hartanah yang ingin dibeli. Dan pastikan ianya sama dengan rekod dan lokasi dalam geran/ dokumen-dokumen berkaitan.
Jangan transfer bayaran dahulu, kemudian baru hendak pergi tengok hartanah yang nak dibeli.
8. Jangan terlalu excited dan tergesa-gesa dalam urusan jual beli hartanah walaupun anda di desak sedemikian oleh penjual.
Sila fahamkan dahulu prosedur-prosedur asas jual beli hartanah. Jika tidak, bimbang-bimbang anda mudah ditipu atau dipengaruhi oleh pihak lain.
9. Jika anda terpaksa membuat bayaran booking juga untuk mengelakkan hartanah tersebut terlepas ke tangan orang lain, pastikan ada dokumen secara bertulis yang dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak.
Dokumen bertulis itu sama ada dalam bentuk MOU, surat akuan atau perjanjian ringkas tentang apakah akan jadi kepada bayaran deposit/ booking tersebut sekiranya urusan jual beli tidak dapat diteruskan atas apa-apa sebab sekalipun.
Pastikan anda menerima resit untuk setiap bayaran yang telah dibuat.
10. Sila consult mereka yang berpengalaman atau peguam anda sendiri sebelum membuat apa-apa bayaran booking/ deposit. Jangan dengar pendapat orang lain.
Jangan bayar dahulu baru nak consult peguam.