Haritu ada seorang rakan ni minta pendapat saya, dia kata dia nak beli rumah. Saya pun tanya, nak beli untuk apa?
Dia pun tak berapa pasti, jadi saya pun bagitahu dia sebab orang membeli rumah dan mengenai 4 golongan pembeli rumah.
1. Pembeli rumah kediaman sendiri
Golongan pertama ini adalah mereka yang membeli rumah untuk kegunaan sendiri. Boleh jadi membeli secara tunai mahupun pinjaman.
Bagi yang mengambil pinjaman perumahan, pembeli rumah kediaman sendiri ini biasanya berniat untuk melangsaikan pinjaman dalam tempoh yang diberikan iaitu selama 35 tahun atau lebih awal.
Ada juga golongan pembeli rumah kediaman sendiri ini yang membeli rumah kecil kemudian menjualnya selepas beberapa tahun untuk pindah ke rumah yang lebih besar mengikut kemampuan dan disebabkan kerana ahli keluarga yang makin ramai.
Rumah yang telah habis dibayar akan didiami sehingga akhir hayat & diwariskan kepada anak-anak ataupun ahli keluarga yang lain.
2. Usahawan hartanah
Usahawan hartanah ialah golongan yang membeli rumah untuk menjana pendapatan baik dari sewa dengan aliran tunai positif atau dijual semula dengan keuntungan.
Golongan ini akan mencari rumah-rumah yang dijual lebih murah dari nilai pasaran yang selalunya dari pasaran sekunder atau rumah yang dilelong.
Bagi mendapatkan pendapatan sewa aliran tunai positif, usahawan hartanah akan menyewakan rumah mereka untuk jangka masa panjang atau menjalankan bisnes rumah tamu.
Seperti usahawan yang menjalankan perniagaan lain, banyak kos yang terlibat dan kerja yang perlu dilakukan dalam proses perniagaan yang dijalankan.
Usahawan hartanah yang membeli rumah dengan harga yang murah dan menjualnya dengan harga yang lebih tinggi selalunya akan menambah nilai pada rumah yang dibeli dengan proses renovasi atau membaiki rumah-rumah lama yang sudah rosak.
Saya panggil golongan ini juga dikenali sebagai “real flipper”.
3. Pelabur hartanah
Pelabur hartanah ialah mereka yang membeli hartanah sebagai instrumen pelaburan jangka masa panjang.
Mereka ini adalah golongan yang mempunyai lebihan duit dari perniagaan atau simpanan yang ingin dilindungi daripada susut nilai disebabkan inflasi dengan membeli hartanah.
Golongan ini membeli hartanah secara tunai dan ada juga sebahagian yang menggunakan pinjaman bank sebagai leverage.
Golongan ini tidak kisah sekiranya rumah-rumah yang dibeli dibiarkan kosong tanpa penghuni. Ada juga yang menjadikan rumah pelaburan mereka sebagai rumah singgah keluarga atau rumah tamu untuk kegunaan syarikat sekiranya ada rakan niaga dari luar negara datang bertandang.
Jadi, usah hairan jika anda tidak pernah melihat jiran sebelah rumah anda walaupun sudah bertahun kosong. Mungkin jiran anda hanya membeli rumah itu untuk “parking” duit mereka.
4. Spekulator hartanah
Golongan keempat ini pula bercelaru dengan golongan di atas. Mereka ini selalunya hendak mengikut trend atau hype pasaran hartanah.
Bagi yang bernasib baik, ramai yang membuat keuntungan ketika pasaran sedang hangat sekitar 2011-2014. Pada ketika itu, spekulator hartanah membeli rumah daripada pemaju dan terus menjualnya semula kepada pembeli baru dengan keuntungan sejurus selepas projek siap.
Golongan ini membeli hartanah atas dorongan perasaan tamak dan FOMO (fear of missing out) tanpa mendalami ilmu selok-belok mengenai pasaran hartanah. Golongan ini mudah diambil kesempatan oleh “Guru”, ejen atau broker hartanah yang mengajarkan teknik-teknik & jurus “rahsia” yang terlalu berisiko dan akhirnya memakan diri.
Beberapa tahun kebelakangan sehingga ke hari ini, pasaran hartanah Malaysia sedang melalui fasa “correction” dan ekonomi yang mencabar. Ramai golongan spekulator hartanah ini yang terpaksa menjual hartanah mereka dalam keadaan rugi ataupun dilelong oleh pihak bank.
Saya yakin ramai juga golongan ini yang semakin bijak dan berubah menjadi golongan 2 atau 3.
———————–
Penulisan ini adalah pandangan peribadi,