16 Poin Penting Untuk Anda Faham Isu Tanah Kampung Baru

Isu tanah kampung baru

Kecoh isu kerajaan mahu membeli tanah di Kampung Baru pada harga RM850 kaki persegi.

Ada pihak menjadikannya isu politik sehingga timbul pelbagai persepsi negatif. Jadi kami mengambil peluang menghadiri wacana Sinar Harian bagi mendapatkan maklumat yang betul.

Harapnya poin yang kami kongsikan di bawah ini bolehlah anda hafal untuk bawa berbincang bila mengopi dengan kawan nanti.

Ini kami kongsikan 16 poin penting mengenai isu tanah di Kampung Baru.

Emas milik Melayu yang tersembunyi

1. Menurut Haji Ishak Ismail (Presiden Persatuan Ejen Hartanah Muslim Malaysia), Kampung Baru merupakan emas terpendam milik orang Melayu. Cumanya nilai ‘emas’ ini meningkat dengan begitu perlahan kerana tidak dibangunkan secara strategik.

2. Kita kena pastikan kehidupan dan culture orang Melayu yang hidup di situ dicorakkan daripada dibiarkan keadaan yang terhimpit dengan pembangunan.

3. Lokasi Kampung Baru ini strategik tetapi tidak dibangunkan, akhirnya yang tinggal dan berniaga di situ rata-rata warga Bangladesh, Indonesia, dan Thailand.

Status tanah Kampung Baru Tanah Malay Agricultural Settlement

4. Tanah Kampung Baru merupakan Tanah MAS (Malay Agricultural Settlement). Ia berbeza dengan tanah Malay Reserved. Menurut Abdul Razak dari JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta), tanah MAS punya syarat jauh lebih ketat daripada tanah Malay Reserved.

5. Beliau berikan satu contoh mudah, tanah Malay Reserved tidak boleh dipindah milik kepada bukan Melayu namun masih boleh diduduki oleh orang bukan Melayu. Tanah MAS pula, ia tidak boleh dipindah milik kepada bukan Melayu dan juga tidak boleh diduduki oleh kaum selain Melayu.

Berapa nilai hartanah di Kampung Baru?

6. JPPH telah menilai harga tanah di Kampung Baru pada harga RM650 – RM850 kaki persegi. Penilaian juga dibuat berdasarkan harga pindah milik yang berlaku di Kampung Baru pada ketika ini iaitu sekitar RM600 kaki persegi.

7. Jika ikutkan mereka bukan semua nilai tanah di Kampung Baru pada harga RM850 kaki persegi sebab ada tanah yang lebih murah di bahagian dalam.

8. Tetapi menurut Khalid Samad, beliau cuba memberi tawaran tidak kira lokasi tanah di ceruk mana sekalipun, kerajaan sanggup membeli pada harga RM850 kaki persegi.

Kenapa tidak tukar status tanah supaya nilainya naik?

9. Timbul persoalan seterusnya, jika kerajaan mahu bantu penduduk Kampung Baru, kenapa tidak tukar sahaja status tanah MAS kepada open title. Ia membantu melonjakkan harga tanah tadi berkali ganda.

10. Bila ditukar kepada open title, ia bermaksud tiada lagi sekatan seperti tidak boleh dibeli orang bukan Melayu atau tidak boleh diduduki oleh orang bukan Melayu. Rujuk poin Tanah MAS tadi.

11. Ya, ia menyelesaikan keperluan orang di tanah Kampung Baru. Tetapi ia sudah tidak jadi ‘emas’ kepada orang Melayu keseluruhannya. Berapa ramai orang Melayu yang ada kuasa beli kediaman di area KLCC?

Apa yang kerajaan mahu buat?

12. Jadi apa yang sebenarnya kerajaan mahu buat apabila membeli tanah di Kampung Baru? Sebahagiannya dibangunkan penempatan seperti kondominium atau rumah flat dan sebahagian lain dibangunkan untuk tujuan pelancongan.

13. Dan kerana ia berstatus tanah MAS, maka kediaman yang didirikan itu hanya untuk orang Melayu sahaja.

14. Apa akan jadi jika kos membeli tanah Kampung Baru itu jauh lebih tinggi? Kediaman yang dibuat itu juga bakal dijual pada harga yang tinggi dan ditakuti tidak mampu milik seperti kebanyakan hartanah di KLCC.

15. Konsep yang ingin dibawa kerajaan adalah Transit Rental Development iaitu pembangunan akan membawa warga yang bekerja di Kuala Lumpur supaya tinggal di Kuala Lumpur. Dengan ini mereka dapat elakkan lalu lintas pergi dan pulang kerja. Jadi penduduk yang bekerja di KL boleh terus pergi ke tempat kerja dengan pengangkutan awam.

16. Apabila ditanya siapakah pemaju (developer) yang akan membangunkan projek itu? Khalid Samad memberitahu kerajaan akan cuba memastikan pemaju bumiputera diberikan keutamaan dahulu.

Ini sebahagian poin penting yang sempat kami catatkan. Sekiranya ada sebarang pembetulan, maklumkan terus kepada pihak admin [email protected] atau komen terus di bawah.

Pandangan kami

Kampung Baru memang perlu dimajukan dan dibangunkan.

Dalam masa yang sama Kampung Baru mestilah kekal hak milik orang Melayu. Janganlah termakan dengan cadangan suruh tukar title tanah MAS kepada open title atau apa.

Bayangkan kalau harga kaki persegi jadi RM2,000. Nak beli satu tanah lot saiz 8,000 kaki persegi pun dah jadi total RM16 juta.

Kalau nak bangunkan kondo kena beli berapa biji tanah lot, dan cubalah kira berapa juta pula kos beli tanah.

Itu baru kos beli tanah, belum masuk kos nak bangunkan lagi.

Bila dah siap jadi bangunan, rasanya kena jual harga berapa baru balik modal? Mampukah orang Melayu lain nak beli?

Wan Barista

Wan Barista

Merupakan wartawan utama portal KopiHartanah. Tugas beliau adalah memastikan website ini sentiasa berupdate.

Tinggalkan pandangan dan kritikan