Saya ulas isu ini memandangkan terdapat beberapa kes yang mana ada tuan rumah telah bertindak untuk menghalau penyewa-penyewa keluar daripada rumah sewa dalam tempoh PKP ini kerana kegagalan membayar sewa.
Saya merasakan tidak wajar untuk tuan rumah berbuat demikian lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang. Bukan sahaja tidak wajar, tetapi memang salah pun di sisi undang-undang.
Ingat ya, undang-undang melibatkan tuan rumah dan penyewa sebenarnya lebih banyak melindungi hak penyewa.
Jadi, untuk soalan di atas, tuan rumah TAK BOLEH halau penyewa sesuka hati.
Boleh rujuk Seksyen 7(2) Akta Relief Spesifik 1950 yang sebutkan,
“Jika sesuatu harta tak alih spesifik telah disewakan di bawah sesuatu penyewaan, dan penyewaan itu ditamatkan atau telah berakhir, tetapi penghuni itu masih terus menduduki harta itu atau sebahagian daripada tanah itu, orang yang berhak kepada milikan harta itu tidak boleh menguatkuasakan haknya untuk mendapatkan harta itu kembali terhadap penghuni itu melainkan dengan prosiding di mahkamah.”
Maksudnya, untuk halau penyewa keluar, tuan rumah kena dapatkan perintah dari mahkamah yang membenarkan untuk berbuat demikian dahulu. Bila dah ada perintah mahkamah, baru ada hak untuk arahkan penyewa keluar.
MACAM MANA PULA KALAU TUAN RUMAH TIBA-TIBA DATANG TUKAR KUNCI PINTU/PAGAR RUMAH SEWA?
Tuan rumah tak boleh buat macam tu. Walau pun dia adalah pemilik sah rumah tersebut, tuan rumah tetap kena minta izin penyewa terlebih dahulu untuk datang ke premis sewaan.
Kalau tak, tuan rumah boleh dikira sebagai menceroboh.
Termasuk tindakan untuk tukar kunci pintu/pagar premis sewaan. Penyewa boleh buat laporan polis sekiranya tuan rumah buat macam tu.
Justeru, penyewa perlu tahu dan cakna hak-hak mereka sebagai penyewa.
Pada masa yang sama, tuan rumah juga perlu sedar dan berhati-hati apabila ingin membuat sebarang tindakan terhadap penyewa, baik dalam tempoh PKP ini ataupun pada masa lain nanti supaya tidak terdedah kepada sebarang tindakan undang-undang.
Rujuklah kepada mereka yang lebih arif sebelum ambil tindakan.