1. Ramai yang tanya saya tentang isu lanjutan tempoh masa (EOT) serahan milikan kosong rumah dalam pembinaan oleh pemaju.
2. Boleh atau tidak pemaju mohon tempoh lanjutan masa (EOT) serahan milikan kosong daripada KPKT? Adakah Pengawal Perumahan (Home Conttoller) di bawah KPKT mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan lanjutan tempoh masa (EOT) tersebut?
Dan jika lanjutan tersebut diluluskan, adakah pembeli tidak layak lagi menuntut ganti rugi kelewatan (LAD) terhadap pemaju untuk tempoh masa serahan milik kosong yang dilanjutkan tersebut?.
3. Sebenarnya setakat ini tiada peruntukan undang-undang yang spesifik dalam Jadual G atau H di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) yang menyebut tentang lanjutan tempoh masa serahan milikan kosong ini.
4. Walau bagaimanapun terdapat satu kes terkini yang telah diputuskan di peringkat Mahkamah Tinggi dan di Mahkamah Rayuan dan kini dalam proses rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan yang membincangkan isu berkenaan lanjutan tempoh masa (EOT) serahan milikan kosong di atas.
Kes tersebut adalah melibatkan 104 Pembeli Rumah Kondo Sri Istana lwn Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) & Pemaju BHL Construction Sdn Bhd.
5. Di peringkat Mahkamah Tinggi dan kemudiannya di Mahkamah Rayuan, Mahkamah telah berpihak kepada pembeli rumah di mana Mahkamah telah memutuskan antara lain:
- I. Pemaju tidak boleh memohon tempoh lanjutan masa (EOT) serahan milikan kosong rumah kerana tiada peruntukan undang-undang yang spesifik dalam Akta Pemajuan Perumahan dan apa-apa peraturan di bawahnya yang membenarkan tindakan sedemikian.
- Jika pemaju ingin mendapatkan tempoh lanjutan masa (EOT) serahan milikan kosong, mereka hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pembeli-pembeli dan pembeli-pembeli hendaklah diberikan hak untuk mendengar (right to be heard) sebelum pemaju membuat keputusan sedemikian.
- Pemaju dibenarkan untuk memohon tempoh lanjutan masa (EOT) serahan milikan kosong sekiranya rumah-rumah tersebut masih belum dijual kepada pembeli. Setelah dijual maka kedua-dua belah pihak akan terikat dengan peruntukan dalam Jadual G dan H Akta Pemajuan Perumahan dan sebagaimana yang dinyatakan tiada peruntukan sedemikian dalam kedua-dua jadual tersebut.
- Memandangkan tiada sebarang peruntukan undang-undang bertulis yang dibuat oleh Menteri, Pengawal Perumahan (Home Controller) tidak mempunyai bidang kuasa dan budi bicara untuk meluluskan permohonan EOT daripada pemaju.
6. Pihak KPKT dan Pemaju telah memfailkan permohonan kebenaran rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Persekutuan dan kini masih lagi dalam proses rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.
7. Saya berpandangan dan menyeru agar pihak kerajaan melalui KPKT dapat menggubal segera satu undang-undang yang spesifik dalam Akta Pemajuan Perumahan untuk mengelakkan konflik berkaitan isu EOT ini berlanjutan demi melindungi hak dan kepentingan pembeli rumah.
8. Saya juga menggesa agar, sehingga satu peruntukan undang-undang digubal oleh kerajaan berkenaan dengan isu EOT ini atau sehingga Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan berkaitan kes di atas, sewajarnya pihak KPKT menangguhkan (hold) dahulu dan tidak meluluskan sebarang permohonan lanjutan tempoh masa (EOT) yang dibuat oleh pemaju.
Boleh baca perbincangan artikel ini di sini.