[ru.mah] | رومه merujuk kepada kamus dewan bahasa dan pustaka bermaksud binaan untuk tempat tinggal. Tempat tinggal pula merupakan suatu keperluan asas bagi setiap manusia
Menurut “Maslow’s hierarchy of needs”, setiap manusia mempunyai tahapan keperluan mengikut situasi dan keberadaan mereka dalam kehidupan. Teori ini menerangkan fundamental keperluan manusia berkait dengan psikologi. Dalam penulisan harini saya akan kupaskan rumah sebagai suatu keperluan berdasarkan teori ahli psikologi Amerika, Encik Abraham Maslow.
1. Tahap yang pertama adalah keperluan asas fizikal.
Rumah dalam kategori ini adalah sebagai tempat berteduh & berlindung. Dalam tahap ini, individu belum tentu lagi merasakan keperluan untuk membeli rumah kerana dengan menyewa rumah atau menyewa bilik pun boleh mendapatkan akses kepada tempat berlindung. Biasanya tahap dilalui dalam fasa awal memasuki alam dewasa, baru tamat pengajian dan memasuki alam pekerjaan. Mungkin juga masih tinggal bersama ibu bapa atau menumpang rumah abang atau kakak di bandar.
2. Tahap kedua adalah berkenaan sekuriti & stabiliti.
Pada tahap ini, rumah dilihat sebagai satu jaminan keselamatan & kestabilan dalam kehidupan. Tidak perlu risau tuan rumah menghalau kita keluar dari rumah sewa kerana pelbagai sebab. Memiliki rumah sendiri dilihat sebagai suatu jaminan keselamatan untuk keluarga. Sekiranya berlaku kematian, sekurang-kurangnya ahli keluarga ada tempat berteduh. Di tahap ini juga rumah dilihat sebagai aset jangka masa panjang, menyimpan harta yang meningkat nilai dan kalis inflasi.
3. Tahap seterusnya ini sudah melibatkan keperluan psikologi berkaitan kasih sayang.
Rumah sebagai tempat memupuk rasa kasih sayang antara keluarga. Ruang tempat tinggal dikongsi bersama insan tersayang, baik bersama keluarga nukleus atau keluarga kluster.Kita boleh lihat “multi generation homes” sudah mula popular di bandar. Pemaju membina rumah yang boleh menempatkan tiga generasi dalam satu rumah. Pemilik rumah ini menjemput ibu bapa atau adik-beradik mereka tinggal bersama.Perasaan “sense of belonging” kepada sesuatu kawasan atau sesebuah komuniti mula wujud. Membeli rumah berhampiran dengan ibu bapa, adik beradik atau sanak saudara. Pembeli rumah di tahap ini sudah melibatkan diri dengan aktiviti komuniti seperti rukun tetangga ataupun aktiviti kariah.
4. Tahap keempat ini juga berkaitan dengan keperluan psikologi.
Di tahap ini, pembeli membeli rumah sebagai suatu simbol prestij atau menunjukkan status pencapaian. Rumah yang dibeli di kawasan elit dan mewah. Rumah dibeli hasil dari titik peluh bekerja keras bertahun-tahun dalam kerjaya ataupun perniagaan kerana ingin memberikan keselesaan dan kediaman yang terbaik buat ahli keluarga.Kadangkala rumah yang sudah dibeli tidak didiami, tetapi disimpan hanya sebagai trofi. Digunakan sekali sekala sebagai rumah singgah ataupun tempat melayan tetamu.
5. Pembeli rumah dalam tahap tertinggi “Maslow’s hierarchy of needs” tidak memerlukan pandangan dari orang lain untuk merasakan kegembiraan atau kebahagiaan.
Mereka membeli rumah mengikut keperluan semasa. Golongan ini adalah mereka yang tidak terlalu kisah jenis rumah & lokasi yang dibeli. Boleh jadi mereka tinggal di banglo mewah ataupun pangsapuri kecil walaupun berjawatan tinggi dalam pekerjaan atau memiliki perniagaan yang besar. Golongan ini realistik dan fokus dalam membina potensi diri. Membeli rumah bukan lagi fokus dalam kehidupan. Adakalanya mereka menangguhkan pembelian rumah kerana sibuk membangun potensi diri dalam perniagaan atau kerjaya yang perlu berpindah-randah.