12 Poin Penting Berkaitan Hartanah Dalam Belanjawan 2020

Kerajaan sudah pun membentangkan Belanjawan 2020.

Kami pasti ramai yang sibuk mahu mengopi topik belanjawan ini untuk tempoh seminggu akan datang.

Jadi cuba hadam poin penting ini untuk sesi mengopi kalian. 

PERUMAHAN

1. Skim Pembiayaan Rumah Untuk Dimiliki.

Nama lainnya adalah Rent-To-Own. Kalau jumpa ejen hartanah, ada yang sebut RTO sahaja.

Skim ini untuk pembeli rumah kali pertama bagi hartanah berharga sehingga RM500,000. 

Pembeli mempunyai pilihan untuk menyewa hartanah itu sehingga 5 tahun dan mempunyai pilihan untuk membeli rumah selepas tahun pertama.

Kiranya kalau dah rasa mampu nak beli pada tahun kedua, barulah beli dengan harga masa mula menyewa.

(mohon betulkan jika salah)

Ramai tidak menyempat hendak kumpul deposit untuk beli rumah. Banyak kes bila sudah ada bajet, rumah yang nak beli itu sudah pun naik harga.

Jadi dengan RTO ini, sewa dulu rumah itu sambil kumpul duit deposit untuk beli.

IMPAK: Galakkan pemilikan rumah pertama bagi yang berkira-kira nak keluar duit deposit untuk membeli rumah.

2. Skim Perumahan Belia dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

Skim ini menyediakan jaminan pinjaman, sehingga 100% dari harga rumah. Ia juga menyediakan bantuan ansuran bulanan sebanyak RM200 untuk dua tahun pertama bagi 10,000 unit rumah.

Skim ini dikendalikan oleh BSN.

IMPAK: Galakkan pemilikan rumah pertama bagi yang berkira-kira nak keluar duit deposit untuk membeli rumah.

3. Penyelenggaraan Perumahan Awam

RM100 juta untuk membaiki dan membaik pulih perumahan strata kos rendah dan sederhana.

RM15 juta kepada Inisiatif Bandar Selamat untuk menyediakan lampu luaran, tempat letak kereta dengan ciri keselamatan untuk motosikal, pagar pendakian, dan program sokongan keselamatan.

IMPAK: Keadaan hidup yang lebih selamat dan lebih baik untuk penduduk di rumah kos rendah dan sederhana. Ada yang takut nak beli rumah kos rendah atas faktor keselamatan.

4. Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) atau nama lainnya RPGT ini dikenakan kepada keuntungan dari hasil penjualan rumah.

Dalam Belanjawan 2020, Kerajaan menetapkan nilai pasaran pada 1 Januari 2013 sebagai harga pemerolehan bagi setiap harta tanah yang dibeli sebelum 1 Januari 2013.

KOMEN: Siapa yang beli sebelum itu semua nilai perolehan dikira berdasarkan nilai pada 1 Januari 2013. Jadi kenaikan harga dari sebelum 2013 tidak dikira untung dalam pengiraan CKHT.

Jadi ia mengurangkan beban pemilik harta daripada membayar cukai yang lebih tinggi semasa menjual hartanah.

5. Melalui kerjasama sektor swasta, kerajaan melancarkan Kempen Pemilikan Rumah atau nama lainnya HOC (Home Ownership Campaign)

Dalam kempen ini, pemaju menawarkan sekurangnya diskaun 10% untuk hartanah yang layak dan akan dipadankan dengan pengecualian duti setem.

HOC ini sudah dilancarkan masa bajet 2019 lagi.

Setakat ini kira-kira 21 ribu unit rumah bernilai RM13.44 bilion sudah dijual melalui kempen ini. Dan ini melebihi sasaran awal iaitu hanya RM10 bilion sahaja.

Jadi sebab itu kerajaan melanjutkan lagi kempen ini sehingga 31 Disember 2019. (sepatutnya sampai 30 Jun sahaja)

6. Nilai Ambang Hartanah Bandar Bagi Pemilikan Warga Asing diturunkan daripada RM1 juta kepada RM600 ribu sahaja.

Sebelum ini warga asing hanya boleh membeli rumah yang berharga RM1 juta dan ke atas.

Ini bagi mengurangkan lambakan kondominium yang tidak terjual yang dianggarkan bernilai RM8.3 bilion ringgit pada suku kedua 2019.

IMPAK: Makin ramailah warga asing yang berminat membeli rumah di Malaysia sebab boleh beli yang hartanah yang murah. Ini sebenarnya membantu pemaju hartanah yang banyak buat kondominium tak terjual.

Maka makin senanglah para ejen hartanah yang ada network di China atau negara Arab untuk promote rumah.

Isunya bagaimana kerajaan mahu mengawal ketamakan para pemaju hartanah yang pastinya akan bangunkan kondominium tidak mampu milik ini.

Cuma baru terbaca dalam MalayMail, menteri kata hanya tertakluk kepada unit hartanah sedia ada yang tidak terjual sahaja.

PELANCONGAN

7. RM1.1 bilion untuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk Tahun Melawat Malaysia 2020.

8. RM25 juta kepada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelancongan kesihatan di ASEAN untuk onkologi, kardiologi dan rawatan kesuburan.

KOMEN: Ini bagus bagi mereka yang ada hartanah di sekitar hospital atau pusat pelancongan. Bolehlah dijadikan sebagai guest house (rumah tamu). Masa promo secara online gunakan keyword ‘medical tourism’ atau ‘health tourism’.

INFRASTRUKTUR

KOMEN: Setiap infrastruktur baru atau penambah baikan sedia ada, menyebabkan potensi baru wujud di kawasan tersebut. Bolehlah mula check ada peluang hartanah tak di kawasan ini.

9. Lebuh Raya Pan Borneo

Kerajaan tetap komited untuk menyiapkan projek Lebuh Raya Pan Borneo, yang merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di Sabah dan Sarawak.

Proses rasionalisasi kos setakat ini telah menghasilkan penjimatan sebanyak RM1.2 bilion, mengurangkan kos projek kepada RM29 bilion.

10. Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh

Kerajaan juga bercadang untuk menaik taraf lapangan terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh termasuk memanjangkan landasan.

11. Mengurangkan kesesakan Tambak Johor

RM85 juta bermula tahun 2020 untuk melancarkan aliran trafik kenderaan khususnya yang melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin.

Kerajaan berhasrat untuk meneruskan projek Sistem Rapid Transit (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura.

12. Rakyat kini boleh menikmati diskaun sebanyak 18 peratus secara purata di semua tol lebuh raya milik PLUS Malaysia Berhad mulai tahun 2020.

KOMEN: Jadi bagi yang takut mahu beli rumah di kawasan luar Selangor/KL bolehlah mula lihat hartanah di Negeri Sembilan. Agak ramai sebenarnya mereka yang berulang alik kerja di KL lalu PLUS tiap hari.


Asalnya nak tulis bahagian apa yang KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dapat sahaja.

Kemudian terbaca laporan JLL pula. Yang ini tak dapat nak link sebab dia bagi dalam emel. Laporan JLL jauh lebih lengkap.

Secara keseluruhan kami rasa Belanjawan 2020 ini cukup balance.

Setiap kerajaan kena menjaga hati dua pihak:

  1. Rakyat
  2. Korporat

Jadi, ada bahagian kita dapat lebih, ada bahagian kerajaan kena juga ambil hati pemaju hartanah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *